PETALING JAYA: Cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) di Dewan Rakyat dibuat bagi penambahbaikan proses sedia ada, bukan bertujuan untuk memecat Perdana Menteri.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, perbahasan bagi Rang Undang-undang daripada ahli Parlimen bukan kerajaan (Private Bills) seperti usul tidak percaya juga perlu diberi keutamaan masa berbanding masa perbahasan untuk Rang Undang-Undang Kerajaan (Government Bills).
“Ingin saya tegaskan bahawa cadangan utama saya adalah untuk menggubal peraturan baharu yang memberi ruang masa perbahasan usul tidak percaya dan usul mengemukakan pendakwaan atau pertuduhan (Impeachment) oleh ahli Parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang dan bukan penggubalan undang-undang baharu untuk pemecatan Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh beberapa media.
“Proses sedia ada bagi cadangan perbahasan usul di Dewan Rakyat bagi selain Rang Undang-Undang Kerajaan adalah melalui notis 14 hari atau lebih dan proses ini harus ditambah baik agar usul-usul lain yang menepati syarat perbahasan dan Peraturan Majlis Mesyuarat ini mendapat keutamaan ruang masa dan dibincangkan secara komprehensif oleh ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ini bertepatan dengan komitmen beliau kepada Perdana Perdana Menteri yang berjanji akan menjalankan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan proses tata kerja di Parlimen sepanjang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
“Sebagai contoh saya juga ingin memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membantu pentadbiran dan pengurusan di Parlimen Malaysia secara amnya.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa cadangan dan saranan penambahbaikan dan pembaharuan ini akan dibincangkan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk pembaharuan Parlimen yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat,” katanya.-UTUSAN