PHNS raikan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan raih tiga trofi - Utusan Malaysia

PHNS raikan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan raih tiga trofi

AMINUDDIN Harun (berdiri, tengah) bergambar bersama para pemain hoki wanita pada Majlis Anugerah Hadiah Kemenangan Kepada Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan Bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 di Seremban hari ini. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kejayaan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan merangkul tiga trofi dalam Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan tahun ini mendapat pengikirafan daripada Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) hari ini.

Para pemain pasukan itu telah diraikan pada Majlis Anugerah Hadiah Kemenangan Kepada Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan Bagi Kejohanan Liga Hoki TNB Kebangsaan 2023 di sini.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Presiden PHNS, Timbalan Presiden persatuan itu, Datuk Masri Razali dan para pegawai kanan PHNS.

Berucap pada majlis itu, Aminuddin berkata, pasukan tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai pasukan pertama di negara ini menggondol kejuaraan treble selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars.

Menurutnya, kejayaan itu menjadi lebih manis apabila ketua pasukan, Noraini Abdul Rashid dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sementara Nuramirah Shakirah Zulkifli menerima anugerah sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 19 gol.

“Sesungguhnya kejayaan yang diperolehi adalah hasil daripada kerja keras dan komitmen bersepadu daripada semua pihak. Tahniah saya ucapkan kepada barisan jurulatih, pengurus dan para pemain,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bonus sebanyak RM2,000 kepada setiap pemain dan Ketua Jurulatih, K. Rajan.

Aminuddin menarik perhatian, berdasarkan pengamatan PHNS, pihaknya mendapati momentum sukan hoki di negeri ini sedang berkembang maju ekoran kejayaan pasukan hoki wanita di peringkat kebangsaan.

Jelasnya justeru, persatuan tersebut berhasrat untuk terus menyertai Kejohanan Hoki Kebangsaan TNB pada setiap tahun.

“Kita akan terus menyediakan dana yang secukupnya untuk penyertaan dalam kejohanan ini pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri akan melakukan kerja menaik taraf stadium hoki utama di Kompleks Sukan Tan Sri Dr. Haji Mohd Said di Seremban 2 yang sudah kelihatan usang.

“Kita rancang kalau boleh hendak lakukan dalam masa terdekat. Namun kos naik taraf itu belum dimuktamadkan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya