BAGAN SERAI: Pesawah di Alor Pongsu di sini meminta pihak terlibat segera menyelenggarakan parit saliran masuk dan buang air dengan segera menjelang musim mengeringkan air tidak lama lagi.
Pesawah mendakwa, hal ini kerana parit kurang penyelenggaraan menyebabkan tumbuhan keladi agas tumbuh dalam petak sawah hingga mengancam tanaman padi.
Ketua Unit Peladang Parit Haji Ali-Beriah, Mohd. Zaini Saarani, 65, berkata, sepatutnya perparitan itu diselenggara dan aliran air yang dikeluarkan dari petak sawah kering sepenuhnya namun itu tidak terjadi kerana dalam parit dipenuhi dengan rumput rumpai menyebabkan air dalam sawah tidak dapat kering sepenuhnya.
Menurutnya, untuk proses penyediaan tapak tanaman, biasanya air dimasukkan ke petak sawah terlebih dahulu dan kemudiannya dialirkan melalui parit buang sehingga petak sawah kering dan kerja meracun rumpai dapat dilakukan.
“Racun akan disembur dalam kawasan petak sawah bagi tujuan mematikan semua jenis rumput rumpai yang terdapat dalam petak sawah.
“Namun disebabkan masih terdapat air dalam petak sawah, racun yang disembur tidak begitu berkesan untuk mematikan rumpai yang biasanya akan tumbuh semula.
“Keadaan ini menjejaskan tanaman padi di seluruh kawasan Parit Haji Ali dan hasil tuaian akan terjejas pada musim kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, masalah parit tidak diselenggara dengan baik dialami pesawah di Parit Haji Ali di sini menyebabkan parit dipenuhi keladi agas.
Katanya, keadaan menjadi lebih sukar kerana keladi agas tidak mudah untuk dimusnah sekalipun menggunakan semburan racun.
“Biasanya keladi agas yang diracun akan tumbuh semula dalam tempoh seminggu. Lebih membimbangkan tumbuhan ini mulai tumbuh di petak sawah yang menjejaskan pembesarannya,” katanya.
Mohd. Zaini,berkata jika perparitan ini tidak diselenggara dengan segera, kemungkinan besar tiba musim menuai, jentuai tidak dapat masuk untuk menuai padi kerana tanah akan menjadi lembut seperti mana berlaku di kawasan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang baru-baru ini.
Katanya, malahan tidak mustahil ketika padi dijual, potongan yang tinggi akan dikenakan kerana rumpai bercampur dengan padi ketika dituai.
“Keladi agas ini bukan hanya tumbuh di dalam kawasan kami di Parit Haji Ali tetapi hampir seluruh kawasan di Kompartmen E di Alor Pongsu,” katanya.
Mohd. Zaini berharap agar pihak yang berkenaan memberi perhatian yang serius terhadap isu parit sawah yang tidak diselenggara dengan baik.-UTUSAN