Pesakit talasemia tabah besarkan tiga anak sendirian - Utusan Malaysia

Pesakit talasemia tabah besarkan tiga anak sendirian

NASIR ISHAK (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Maznah Yusof yang mengidap talasemia bersama anak-anaknya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang ibu tunggal di Kampung Melayu Majidee, di sini tabah membesarkan tiga anak seorang diri sejak lapan tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

Kehidupan empat beranak itu lebih memilukan apabila Maznah Mohd. Yusof, 36, diuji pula dengan penyakit talasemia selepas setahun bercerai.

“Setelah berpisah dengan bekas suami sebab dia culas dalam soal memberi nafkah kepada anak-anak, saya berdikari cari kerja, macam-macam kerja termasuk kerja kerani hotel dan kilang.

“Selepas setahun bercerai, saya sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap talasemia, iaitu sel darah merah tidak normal, sebabkan saya mudah pitam dan cepat letih,” katanya ketika ditemui, di sini.

Ekoran masalah kesihatan itu  mendorong Maznah berhenti kerja di tempat lamanya dan kemudian mengambil upah menjaga kedai serbaneka milik rakannya di Kempas, di sini.

Maznah mendakwa masalah keluarga antara adik-beradiknya memaksa dia dan tiga anaknya yang berusia  antara 11 hingga 14 tahun berpindah ke Benut, Pontian untuk memulakan hidup baharu mulai 30 Jun lalu.

Namun, hasrat ibu tunggal tersebut untuk memulakan kehidupan baharu berdepan kesukaran kerana hingga kini belum mendapat pekerjaan bagi menyara keluarganya.

“Saya cari kerja di sana, sampai sekarang tak dapat. Jadi, saya ambil keputusan untuk kembali ke Johor Bahru dengan harapan ada rezeki buat kami sekeluarga.

“Apa yang saya harap dapat kerja dalam masa terdekat dan ingin memohon bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk memudahkan saya, anak-anak serta emak dapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jejak Asnaf MAINJ, Nasir Ishak berkata, bantuan kewangan Baitulmal keluarga Maznah sebanyak RM300 sebulan sudah disalurkan sejak dua tahun lalu.

Pihaknya akan membantu keluarga tersebut mendapatkan rumah PPR di kawasan Johor Bahru bagi meringankan beban yang dialami mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam turut menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan harian sebanyak RM500 kepada keluarga berkenaan.

Orang ramai yang ingin tampil membantu Maznah boleh menghubunginya menerusi ttalian 013-9378994 atau menyalurkan sumbangan terus ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya bernombor  0110029000835004. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya