KUANTAN: Kerajaan negeri mensasarkan pertumbuhan ekonomi di wilayah Pahang Barat Plus berjaya diunjurkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan di situ tidak mengalami kelewatan namun di peringkat permulaan banyak perkara perlu diteliti.
“Ia bukan lambat tetapi ini adalah perkara biasa pada peringkat permulaan kerana terdapat banyak perkara yang perlu diteliti sebelum ia mula menunjukkan kemajuan.
“Kerajaan negeri yakin Pahang Barat Plus adalah platform yang ideal untuk mempercepatkan pembangunan di sebelah barat negeri ini.
“Pahang Barat Plus akan mencapai potensi penuhnya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, atau paling cepat… mungkin tiga tahun sahaja. Pembangunan adalah berterusan dan kita tidak pernah memperlahankannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan pelancaran Invest@ECER 2023 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Pahang Barat Plus tidak akan diketepikan dalam usaha memastikan pembangunan seimbang antara sebelah timur dan barat negeri itu.
“Kita ada kawasan perindustrian di sebelah barat Pahang…contohnya di Lipis yang mana kelulusan sudah diberikan untuk membina kilang di situ tetapi ia memerlukan masa.
“Terdapat juga projek ternakan lembu dan ayam Wagyu berskala tinggi… untuk produk tenusu di Lipis dijangka ia akan disegerakan,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapannya, beliau berkata, Pahang mencatatkan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10.8 peratus sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan ketiga terbaik dalam pertumbuhan ekonomi peringkat nasional.
“Pahang berada di tempat ketiga selepas Pulau Pinang dan Selangor yang mana ia mengatasi kadar pertumbuhan negara pada 2022. Ini sebahagiannya adalah disumbangkan oleh ECERDC.
“Saya harap ECERDC tidak akan terus leka dengan prestasi mereka sejak 15 tahun lalu tetapi meneroka lebih banyak lagi sumbangan yang mampu memberi nilai tambah sekali gus dapat memastikan ECER kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif,” katanya. – UTUSAN