Permohonan semakan Bung Moktar, Zizie 7 September

Permohonan semakan Bung Moktar, Zizie 7 September

BUNG Moktar Radin (dua dari kiri) dan Zizie Izette Ab. Samad (kanan sekali) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi sebutan permohonan semakan.-UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 September ini bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid ketika menetapkan tarikh itu turut mengarahkan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 4 Ogos ini dan hujahan balasan sebelum atau pada 18 Ogos.

Sebelum ini, hakim berkenaan menolak permohonan semakan pasangan suami isteri itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan permohonan difailkan menggunakan mod yang salah.

Terdahulu, peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar memohon masa selama tiga minggu untuk memfailkan hujahan bertulis.

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Prosiding bela diri pasangan suami isteri itu yang sepatutnya didengar selama sembilan hari bermula 10 Julai lalu, dilapangkan oleh Mahkamah Sesyen bagi membolehkan permohonan semakan itu diputuskan terlebih dahulu.

Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 13 September.

Pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas menolak bantahan awal pihak pendakwaan.

Mahkamah berpuas hati, Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan berbuat demikian sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.

Panel itu berpuas hati, semakan boleh dilakukan melalui usul mahkamah itu sendiri selepas meneliti laporan akhbar atau jika terdapat mana-mana pihak yang berminat dengan prosiding itu, memfailkan permohonan semakan.

Pada hemat panel berkenaan, dalam kes Bung Moktar dan Zizie Izette, permohonan semakan difailkan oleh pasukan peguamnya pada peringkat kes prima facie dan menjadi tugas Mahkamah Tinggi adalah untuk menimbang merit permohonan itu.

“Tugas Mahkamah Tinggi adalah untuk menimbang meritnya. Namun, dalam hal ini, permohonan itu dibatalkan tanpa meritnya didengar selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang menyatakan permohonan difailkan menggunakan mod yang salah,” ujar Hakim Hadhariah.

Ketika di Mahkamah Rayuan, Bung Moktar dan isterinya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Disember 2022 yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya