Perkasa TVET melalui kerjasama industri dalam kampus - Utusan Malaysia

Perkasa TVET melalui kerjasama industri dalam kampus

MOHAMED KHALED Nordin (dua dari kanan) melihat demonstrasi penggunaan van mobiliti untuk kegunaan penuntut Orang Kurang Upaya (OKU), Siti Hawa Apandi, 34 ketika melakukan lawatan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan di Pekan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperkasa pengajian bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui program kerjasama industri dalam kampus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi memenuhi permintaan negara dalam bidang itu, rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) disaran meningkatkan perancangan terutama membabitkan kemasukan penuntut masing-masing.

Menurutnya, empat universiti terlibat iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Kita akan mula pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), saya mengharapkan MTUN sudah ada perancangan untuk memperluaskan lagi tempat pengajian dan membuka lebih banyak cawangan bagi kemudahan kepada pelajar.

“Kita meletakkan tanggungjawab ini terhadap empat universiti ini supaya mampu menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar yang memilih bidang TVET,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke UMP Kampus Pekan di sini hari ini.

Mengulas lawatan ke UMP, Khaled berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian universiti itu yang berada pada landasan tepat untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara.

“Dari segi kebolehan pasaran, sebanyak 98.67 peratus pelajar yang dikeluarkan daripada UMP mendapat pekerjaan iaitu melebihi universiti awam atau MTUN yang lain.

“Sebanyak 20 peratus graduan UMP mendapat gaji melebihi RM3,000. kerana hubungan baik dan rapat dengan pihak industri,” jelasnya.

Sementara itu, tambah beliau, universiti teknikal perlu menjalinkan hubungan baik dan rapat dengan pemain industri serta bertindak lebih proaktif untuk tujuan tersebut.

Katanya, ia bukan sahaja untuk kebolehpasaran graduan malah dapat membantu menyelesaikan isu-isu dan cabaran yang dihadapi dalam industri.

“Dengan cara ini dapat memastikan industri menyerahkan kepada universiti untuk mengemukakan penyelesaian kepada isu-isu dan cabaran yang dihadapi mereka.

“Maknanya, melalui tindakan itu nanti, industri bersedia menyalurkan peruntukan penyelidikan dan pihak universiti dapat bertindak mencari jalan bukan sahaja bagaimana untuk menyelesaikannya tetapi dapat mengemukakan teknologi dan produk baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya