SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa singgah ke Kedai Nasi Ayam Hainan Kak Lina di Taman Ampangan dekat sini untuk makan tengah hari sebelum menunaikan solat Jumaat.
Beliau yang berbaju Melayu berwarna biru tiba di kedai berkenaan pada kira-kira pukul 12.10 tengah hari dan menikmati hidangan nasi ayam yang telah diusahakan Mazlan Ibrahim, 51, sejak 25 tahun lalu.
Turut dihidangkan kepada Perdana Menteri adalah nasi impit, mi hun sup, apam Johol serta cendol durian.
Usai menjamu selera, Anwar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bergerak ke Masjid Kariah Taman Panchor Jaya untuk menunaikan solat Jumaat.
Dalam pada itu, Mazlan ketika ditemui memberitahu amat teruja dengan kehadiran Perdana Menteri ke kedai miliknya itu.
“Ini merupakan pertama kali saya berjumpa beliau (Datuk Seri Anwar). Jika ditanya apakah perasaan, saya pastinya amat teruja dan gembira beliau sudi datang ke kedai saya,” katanya yang memberitahu dimaklumkan tentang kesudian Perdana Menteri hadir ke kedainya itu pada 5 Julai lalu.-UTUSAN.