Penyelia Rancangan Tanah Felda didakwa salah guna kuasa seleweng bayaran peneroka - Utusan Malaysia

Penyelia Rancangan Tanah Felda didakwa salah guna kuasa seleweng bayaran peneroka

SHAHIDI Ammar Abd. Azizi (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dan meminta suapan dengan menyeleweng wang bayaran kepada 25 peneroka untuk dirinya, tiga tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang Penyelia Rancangan Tanah Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan menyalah guna kuasa dan meminta suapan dengan menyeleweng wang bayaran kepada 25 peneroka, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Shahidi Ammar Abd. Aziz, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Penyelia Rancangan Tanah (G19) iaitu selaku Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, telah menggunakan jawatannya berkaitan pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuk dirinya. 

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) kepada 14 peneroka Felda sama. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, Jelebu pada September dan Oktober 2020. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban. 

Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam kemudian merayu mahkamah supaya menetapkan jaminan yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis.

“Saya sudah muflis, selain perlu menanggung seorang isteri dan enam anak yang masih kecil,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Ogos depan untuk tertuduh melantik peguam.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya