KLUANG: Lari meninggalkan teksi dinaiki selain membayar tambang dengan kadar tidak cukup antara cabaran yang dihadapi pemandu teksi ketika menghantar penumpang ke destinasi mereka.
Malah, ada penumpang yang keluar dan terus meninggalkan teksi ketika berhenti di lampu Isyarat menyebabkan pemandu hanya dapat memerhatikan mereka berlalu pergi.
V. Laleela, 63, ibu kepada tiga orang anak berkata, sepanjang enam tahun menjadi pemandu teksi, lebih lima kali kejadian penumpang tidak membayar tambang selepas tiba di lokasi yang dituju.
Situasi seperti itu menyebabkannya takut untuk menghantar penumpang ke lokasi terpencil apatah lagi jika penumpang berkenaan adalah lelaki warga asing.
“Jika berkeras mahukan duit tambang atau mengejar penumpang, dikhuatiri akan membahayakan diri. Apa yang boleh dilakukan hanya membiarkan mereka pergi tanpa membayar tambang walaupun kita rugi.
“Ada juga penumpang yang membayar mengikut kehendak mereka dengan alasan tidak cukup duit walaupun ketika minta dihantar kita sudah nyatakan jumlah tambang perlu dibayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Nikmat Awang, 65, yang sudah lebih sedekad sebagai pemandu teksi mengakui pelbagai kerenah terpaksa dihadapi ketika menghantar penumpang.
Katanya, paling banyak berlaku adalah digoda penumpang wanita semata-mata mahu diberikan tambang lebih murah daripada kadar bayaran ditetapkan.
“Namun, semua itu ditangkis dengan baik kerana niat bekerja sebagai pemandu teksi hanyalah untuk mencari sesuap nasi bagi ahli keluarga.
“Jika berlaku penumpang lari sebelum membayar tambang, kami hanya beranggapan tiada rezeki untuk hari itu dan berharap mereka terbuka untuk membayar apabila berjumpa di hentian teksi pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN