Penubuhan parti politik baharu untuk Orang Asli tidak sihat - Utusan Malaysia

Penubuhan parti politik baharu untuk Orang Asli tidak sihat

RAMLI Mohd. Nor ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Masyarakat Orang Asli di negara ini akan berpecah belah dengan penubuhan parti politik baharu yang mewakili komuniti itu.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, beliau difahamkan sebuah parti politik baharu untuk masyarakat Orang Asli telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, sudah tentu parti politik itu mahu mensasarkan keahlian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini yang hanya berjumlah kira-kira 217,000 orang. 

“Bagi saya (penubuhan parti politik baharu) ini adalah tidak sihat kerana ia akan menyebabkan Orang Asli berpecah belah.

“Selama ini, kira-kira 90 peratus masyarakat Orang Asli menyokong Barisan Nasional (BN) dan menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan,” katanya kepada para pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Ramli, jika sokongan masyarakat Orang Asli telah berpecah maka kuasa politik komuniti itu akan menguncup.

“Samada kita suka atau tidak kuasa mengundi Orang Asli adalah terlalu kecil dan adalah lebih baik mereka bersama dengan parti yang lebih besar untuk sama-sama menentukan dasar yang menguntungkan masyarakat itu,” katanya.

Beliau memberitahu, pelantikannya sebagai Pengerusi Sekretariat Pembangunan Orang Asli oleh kerajaan akan membolehkan beliau merancang pelbagai aktiviti dan usaha bagi meningkatkan pencapaian komuniti berkenaan.

Tambahnya, antara tumpuan beliau ialah memastikan tidak ada lagi ketirisan berlaku dalam setiap peruntukan dan projek yang disalurkan oleh kerajaan bagi masyarakat Orang Asli.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya