Peniaga persoal status projek Menara K-Parc

Peniaga persoal status projek Menara K-Parc

PENIAGA berhampiran tapak pembinaan Menara K-Parc di Kampung Padang Bakau, Kangar, Perlis meninjau pelaksanaan projek berkenaan yang menimbulkan kegusaran mereka khususnya membabitkan faktor keselamatan. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para peniaga berhampiran projek pembinaan Menara K-Parc di Kampung Padang Bakau dekat sini melahirkan kebimbangan selain mempersoal status pembinaan projek itu yang masih belum disiapkan sehingga kini.

Pelaksanaan projek berkenaan yang didakwa dijalankan secara tidak konsisten mengikut jadual menyebabkan berlakunya kacau ganggu kepada peniaga terlibat sehingga menjejaskan operasi harian mereka.

Walaupun sebahagian daripada pelaksanaan projek itu telah selesai, masih terdapat kerja-kerja pembinaan dijalankan di tapak menara itu termasuk membabitkan bangunan pasar raya dan parkir kenderaan bertingkat.

Seorang peniaga kedai makan, Fatin Anis Nadzaizi, 30, berkata, tapak projek itu yang terletak bersebelahan dengan premisnya menimbulkan beberapa permasalahan antaranya membabitkan isu keselamatan.

Dakwanya, aspek keselamatan di tapak projek tersebut tidak dititikberatkan oleh pihak pemaju memandangkan sebelum ini pernah berlaku insiden sisa kayu menghempap salah sebuah kenderaan yang di parkir berhampiran kawasan berkenaan.

“Kami tidak mengetahui mengapa projek ini lambat siap kerana pelaksanaannya telah menimbulkan banyak masalah sehinggakan ada kenderaan yang diparkir pernah dihempap kayu dari atas bangunan ini ekoran angin kuat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Nur Athirah Ahmad, 30, berkata, habuk dari tapak pembinaan itu menimbulkan rasa kurang senang buat pelanggan yang turut meluahkan rungutan berhubung permasalahan tersebut.

Nur Athirah berkata, habuk-habuk berkenaan menyebabkan kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan itu turut terkesan dan sering kotor disebabkan debu.

“Selain risiko bahaya, kenderaan yang diparkir di sini juga kerap kotor dan kawasan ini sering menjadi tumpuan anjing liar berkeliaran.

“Tidak cukup dengan itu, tapak projek ini dibimbangi menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes tambahan pula Perlis ketika ini merekodkan jumlah kes demam denggi yang tinggi,” katanya.

Tambahnya, projek itu sewajarnya disiapkan dengan segera memandangkan ia dapat memberi limpahan manfaat kepada penduduk dan peniaga berhampiran.

“Peniaga juga akan mendapat manfaat jika projek ini disegerakan jadi kami berharap agar pelaksanaannya dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada mana-mana pihak yang terkesan dengan pelaksanaan projek itu sebelum ini khususnya membabitkan isu keselamatan.

Bagaimanapun, pihaknya akan memanjangkan isu berkenaan kepada kerajaan negeri sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

“Langkah ini adalah bagi membolehkan saya mendapatkan maklumat lanjut berhubung status terkini pelaksanaan projek tersebut,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya