Peniaga online didakwa miliki wang RM100 palsu - Utusan Malaysia

Peniaga online didakwa miliki wang RM100 palsu

CHEOH CHUAN WANG didakwa memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu di Mahkamah Majistret Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang peniaga pakaian dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan memiliki dua keping wang kertas RM100 palsu, awal bulan ini.

Tertuduh, Cheoh Chuan Wang, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chuan Wang bersama-sama seorang suspek yang masih bebas didapati memiliki dua keping not RM100 palsu dengan niat hendak menggunakannya sebagai tulen di sebuah stesen minyak di Batu 21, di sini kira-kira pukul 4 petang, 1 Julai lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 10 tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Eddlyn Wong, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Omar Kutty Abd. Aziz.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi berjumlah RM15,000 kerana tertuduh berisiko melarikan diri memandangkan terdapat seorang lagi suspek yang masih bebas.

Walau bagaimanapun, Omar Kutty menjelaskan bahawa tiada alasan untuk anak guamnya melarikan diri selain dia telah memberikan kerjasama yang baik apabila tampil menyerah diri ke balai polis.

Justeru, beliau memohon jaminan yang rendah kerana anak bongsu daripada tiga beradik itu turut menanggung ibunya yang berusia 60 tahun dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya