MELAKA: Insiden mencemaskan membabitkan 36 pengunjung yang terkandas pada ketinggian 60 meter di pelantar menara tinjau di Menara Taming Sari di sini Ahad lalu tidak melunturkan keterujaan orang ramai untuk menaiki ikon pelancongan itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Menara Taming Sari mendapati, ramai pengunjung tidak melepaskan peluang menaiki pelantar kaca berputar tersebut.
Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Nurhanim Mustaffa, 30, berkata, dia bersama suami dan dua anaknya teruja untuk menaiki Menara Taming Sari setiap kali bercuti di Melaka.
Katanya, dia berasa yakin dan selamat tanpa berasa sebarang kelainan ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Menara Taming Sari wajib naik sekiranya kami sekeluarga berkunjung ke Melaka. Ini kali kedua kami menaikinya dan saya tidak merasakan kejanggalan atau ada sesuatu yang tidak kena semasa naik ke atas.
“Kejadian yang berlaku baru-baru ini mungkin insiden kecil dan jika isunya besar sehingga melibatkan kemalangan jiwa, sudah pasti menara ini akan ditutup. Jadi kami sekeluarga sangat yakin untuk menaikinya,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai 36 pengunjung Menara Taming Sari terperangkap lebih setengah jam dalam pelantar menara tinjau pada ketinggian 60 meter.
Bagaimanapun, kesemua mangsa yang terdiri daripada 26 dewasa, lapan kanak-kanak, seorang warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU) berjaya turun dengan selamat.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Sahdam Saat, 32, dari Johor berkata, setakat ini operasi menara tersebut lancar tanpa gegaran.
Menurutnya, walaupun tidak cakna kejadian yang berlaku Ahad lalu, dia tetap akan menaikinya kerana yakin dengan ciri keselamatan pada menara tersebut.
“Kalau saya tahu kejadian itu pun, saya tetap akan naik. Menara Taming Sari turut menyediakan taklimat keselamatan kepada pengunjung, jadi saya berasa lebih yakin.
“Sepanjang perjalanan dan sesi putaran selama tujuh minit itu terasa lancar dan tiada gegaran. Saya sekeluarga menikmati pemandangan bandar Melaka tanpa sebarang kerisauan,” ujarnya. -UTUSAN