KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur melaksanakan operasi lalu lintas pada waktu puncak bukan bertujuan menyusahkan pengguna jalan raya sebaliknya untuk mendidik orang ramai supaya memartabatkan undang-undang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya memulakan Op Hormat Undang-Undang Jalanraya Polis Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 31 Julai nanti.
Katanya, operasi yang julung kalinya diadakan pada waktu puncak itu bertujuan memberi kesedaran dan didikan kepada pengguna jalan raya supaya memartabatkan peraturan.
“Jika kita lihat di kiri dan kanan, terserlah bangunan yang tersergam indah dengan pembangunan infrastruktur berada di tahap kelas pertama.
“Bagaimanapun, pemanduan pengguna jalan raya masih berada di tahap rendah. Kita ambil contoh, ada pemandu kereta yang kita lihat tadi menekan hon supaya kenderaan di hadapannya tidak berhenti meskipun lampu merah menyala dengan alasan sebelum ini ‘boleh’ buat sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu yang dijalankan di Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam operasi itu ialah Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh.
Mohd Shuhaily berkata, operasi yang memberi fokus kepada kesalahan utama itu turut dijalankan di Desa Aman dan Desa Tasik yang merupakan kawasan penempatan pegawai dan anggota polis.
“Kita tidak mahu sekadar membimbing orang ramai, tetapi juga mendidik pegawai dan anggota kita supaya mereka juga mematuhi undang-undang.
“Apabila kita menjalankan operasi ini, ada pengguna jalan raya yang kita kesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, berhenti di petak kuning dan lain-lain dengan alasan tidak mengetahui ada operasi dijalankan,” katanya.
Mengulas mengenai kesesakan yang berlaku pada waktu puncak semasa pelaksanaan operasi itu, beliau berkata, pihaknya mempunyai dua pasukan iaitu penguat kuasa serta kawalan lalu lintas.
“Pada masa sama, kita juga menumpukan kepada penunggang motosikal warga asing tidak mempunyai lesen (memandu) yang sudah semestinya tidak mempunyai insurans.
“Dalam kes sebegini, kita akan mengenal pasti pemilik motosikal warga asing berkenaan yang menjadi tanda tanya bagaimana mereka boleh sewenang-wenangnya menunggang motosikal tanpa lesen,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya mahu orang ramai mematuhi undang-undang dengan pelaksanaan operasi seumpama itu secara intensif.
“Jika ada keperluan, kita akan meneruskan pelaksanaan operasi ini pada masa akan datang.
“Ini termasuk memberikan latihan kepada anak buah saya berkaitan cara penahanan kenderaan bagi mengelak tohmahan kepada mereka.
“Apa yang saya mahukan adalah anak buah saya kurang budi bicara dan menjalankan tugas mengikut undang-undang dalam usaha mendidik masyarakat supaya mematuhi peraturan,” katanya.-UTUSAN