Penggunaan kupon letak kenderaan MBJB dihentikan tahun depan - Utusan Malaysia

Penggunaan kupon letak kenderaan MBJB dihentikan tahun depan

MOHD. NOORAZAM OSMAN (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menghentikan penggunaan kupon letak kenderaan di seluruh kawasan pentadbirannya bermula tahun depan.

Justeru, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman memberitahu, pihaknya akan memperluaskan penggunaan aplikasi MBJB Spot kepada orang ramai dan setakat ini telah digunakan seramai 449,404 pengguna, iaitu kira-kira separuh daripada warga bandar raya ini.

“Penjualan kupon tempat letak kenderaan dalam kawasan MBJB akan ditamatkan sebaik sahaja bekalan kupon sedia ada untuk tahun ini habis dijual.

“MBJB akan menjadi PBT pertama di Johor yang menamatkan penggunaan kupon letak kenderaan dan menggunakan aplikasi sepenuhnya untuk kegunaan pemilik kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari INI.

MBJB akan terus menggiatkan usaha mempromosi penggunaan aplikasi MBJB Spot bagi menjadikannya sebagai ‘super app’.

“Ketika ini, aplikasi tersebut bukan sahaja digunakan penduduk Johor Bahru, malah juga orang ramai yang mengunjungi bandar raya ini, termasuk warga Singapura.

“Pada masa depan, kita merancang menjadikan MBJB Spot ini sebagai aplikasi ‘super app’ dengan menggabungkannya dengan aplikasi agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Noorazam turut memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan  sebanyak 54,308 sejak awal tahun hingga 31 Mei lalu.

“Saya mengingatkan orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun untuk menjelaskannya dengan segera sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Selain itu, saya juga berharap pemilik premis perniagaan seperti bengkel kenderaan, kedai aksesori kenderaan, kedai cuci kereta dan yang berkaitan dengannya untuk memohon petak rizab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN