PETALING JAYA: Seorang penganggur ditahan kerana dipercayai melakukan perbuatan khianat di bangunan Pejabat PAS, Jalan Raja Laut dekat sini.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam di Lorong Tiang Nam, Chow Kit dekat sini.
Menurut sumber, siasatan mendapati suspek mengaku membaling batu ke arah cermin hadapan pejabat PAS kerana tidak suka kepada parti PAS yang bertukar sokongan parti.
“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai sebanyak 16 rekod lampau berkaitan sembilan kes dadah dan tujuh kes jenayah,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, suspek akan direman esok untuk siasatan lanjut.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihak polis mengesan seorang lelaki yang bertindak membaling batu sehingga menyebabkan kerosakan pada Pejabat Agung Pas di ibu negara.
Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki yang menunggang motosikal telah membuat bising dan disedari pengawal bangunan tersebut.
“Tindakan suspek dilihat pengawal keselamatan bertugas, namun suspek tidak sempat diberkas sebelum bertindak melarikan diri sejurus kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.- UTUSAN