Penceramah bebas rujuk kes amang seksual PU Azman kepada Firdaus Wong - Utusan Malaysia

Penceramah bebas rujuk kes amang seksual PU Azman kepada Firdaus Wong

FIRDAUS Wong hadir pada prosiding hari ketiga kes perbicaraan kes amang seksual melibatkan PU Azman di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penceramah bebas, Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki, 52, memaklumkan beliau merujuk kes amang seksual melibatkan penceramah selebriti Pencetus Ummah (PU) Azman kepada pendakwah, Firdaus Wong Wai Fung dalam prosiding perbicaraan hari ketiga di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Isfadiah sebagai saksi kelapan memberitahu, beliau meminta bantuan Firdaus yang dipanggil Brother Wong itu kerana pendakwah itu boleh dipercayai dan mempunyai hubungan kuat dengan pihak berkuasa.

“Dia (Firdaus Wong) jenis orang yang ada connection dengan peguam, pihak berkuasa, dia berani tahu cara kalau buat aduan dia akan semak semula sama ada betul atau main-main.

“Saya letakkan sudut kepercayaan kepada Brother Wong untuk bantu kami,” katanya di sini hari ini.

Isfadiah berkata, sebelum ini dia pernah meminta bantuan Firdaus Wong dalam kes melibatkan scammer pendakwah selain bekerjasama dalam program misi bantuan kemasyarakatan membantu mangsa banjir.

Jelas Isfahadiah, beliau yang menjadi penceramah berasa bertanggungjawab untuk membantu mangsa yang terlibat dalam kes seksual melibatkan PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42. 

“Betul mangsa boleh terus buat laporan polis, tetapi saya tahu yang dituduh ini ada nama dan pengaruh besar, saya tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak.

“Saya perlu pilih saluran atau pegawai polis yang betul agar perkara ini tidak tersebar,” katanya yang mengenali PU Azman dalam program ceramah yang disertai mereka.

Jelas beliau, perbuatan amang seksual itu dilakukan PU Azman diketahui dalam perjumpaan bersama empat mangsa lelaki termasuk guru mereka di sebuah bilik tertutup di Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Ogos 2022 yang turut disertai Firdaus Wong.

“Salah seorang mangsa memberitahu dia kena lebih teruk. PU Azman memegangnya secara fizikal yang tidak sepatutnya dilakukan mana-mana lelaki atau ayah.

“Saya tidak suka cerita secara terperinci, PU Azman menggalakkan yang meminta dicium dan memegang kemaluan mangsa,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh seminggu kemudian mereka berjumpa sekali lagi di sebuah hotel di Shah Alam bagi memaklumkan kepada ibu bapa mangsa untuk tindakan lanjut.

Pada perbicaraan hari keempat esok, Firdaus Wong dijangka akan dipanggil sebagai saksi bersama mangsa-mangsa yang terlibat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd. Nasir. 

Pada 12 Oktober 2022 , PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau. 

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu. 

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya