KOTA BHARU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait keraguan mengenai dana projek khas berjumlah RM30 juta yang dibentang oleh kerajaan negeri menerusi Bajet Negeri Kelatan 2023.
Ketuanya Zulhazmi Hassan berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati terdapat keraguan besar dana tersebut akan disalah guna untuk tujuan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Hal ini kerana Kerajaan Negeri Kelantan melalui Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) telah mengumumkan pihaknya menyediakan kemudahan perkhidmatan bas untuk membawa pulang pelajar universiti awam dan swasta untuk pulang mengundi pada PRN 12 Ogos ini. Perkara itu diuruskan oleh Jabatan Perbendaharaan Negeri Kelantan.
“Kos untuk beratus buah bas ini tidak akan sampai atau habis RM30 juta. Jadi saya nak tanya…kemana kah baki dari RM30 juta yang perlu dihabiskan dalam tempoh setahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan pejabat SPRM Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir memberi sokongan terhadap laporan itu Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan.
Zulhazmi atau Jeming Hasan memberitahu, peruntukan itu seolah-olah menggambarkan alokasi untuk 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang wajib dimenangi oleh Pas.
Katanya, hal ini kerana jumlah tersebut sudah memboleh Pas terus mentadbir negeri ini.
“Jadi, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menyiasat mengenai perkara ini.
“Perkara ini melibatkan dana rakyat yang sangat besar. Sebab itulah siasatan secara terus perlu dilakukan oleh SPRM,” ujarnya-UTUSAN