KUALA LUMPUR: Pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas menukar pengakuan tidak bersalah kepada bersalah bagi pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman.
Rizal, 40, atau nama penuhnya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel menukar pengakuannya pada sebutan kes itu hari ini selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi ketiga lelaki itu.
“Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi (ketiga) dan pihak pendakwaan bersetuju untuk menerima representasi agar orang kena saman (OKS) mengaku salah untuk pertuduhan pertama,”kata Timbalan Pendakwa Raya, Nurul’Ain Abu Bakar
Bagi dua lagi pertuduhan, Nurul’Ain berkata pertuduhan-pertuduhan itu dianggap sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 22 Julai 2022, Rizal yang didakwa sebagai OKS didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Facebook, Instagram dan aplikasi TikTok miliknya menggunakan nama profil masing-masing ‘Rizal van Geyzel’, dan rizalvangeysel pada 4, 5 dan 6 Julai tahun sama.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ketika mengemukakan rayuan, Rizal melalui peguam belanya, M. Pravin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang minima atas alasan OKS menanggung tiga anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai masalah dalam pembelajaran.
“OKS mempunyai seorang bapa berusia 74 tahun dan menghidap penyakit jantung kronik serta perlu menanggung kos rawatan bapanya. Selepas kejadian ini, OKS hilang sumber pendapatan utamanya sebagai ‘stand up comedy’ kerana banyak penganjur membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.
“OKS kini bercerai dengan isterinya dan menjaga tiga anak mereka antara tiga tahun dan 11 tahun. Dia menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman denda yang berat dengan mengambil kira kesalahan OKS yang serius sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat yang menganggu keharmonian negara.
Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Rizal.
“OKS didapati bersalah atas pertuduhan pertama dan mahkamah mengambil kira kesalahan dalam pertuduhan kedua dan ketiga dan ia dipersetujui oleh pendakwaan dan peguam untuk diambil kira sebagai ‘take into consideration’ (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,”katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Rizal dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Lelaki terbabit membayar denda itu.-UTUSAN