Pemandu, kelindan maut lori terbalik

Pemandu, kelindan maut lori terbalik

ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan dua mayat mangsa yang tersepit dalam lori minyak kelapa sawit di Jalan Paloh 3 - Lebir, Gua Musang, Kelantan hari ini.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan minyak kelapa sawit maut selepas kenderaan berat yang dinaiki mereka itu hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Paloh 3-Lebir, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Yahya Jusoh, 36, dan kelindan, Mohammad Hariz Zulkifli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, lori jenis Volvo itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang minyak sawit di Paloh 3 di sini menuju ke Klang, Selangor.

Katanya, semasa tiba kawasan jalan yang selekoh, lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan kanan jalan sebelum terbalik.

“Nahas itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat pemandu lori dan kelindan itu dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berlaku semasa lori tersebut hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh sebelum terbabas dan terbalik di sebelah kanan jalan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.56 pagi.

Katanya, mangsa dilaporkan dihempap bumbung lori dan terkena besi penghadang bahu jalan.

“Pihak bomba mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa sehingga perlu mengambil tempoh masa yang agak lama apabila gagal mengangkat dan mengalihkan kepala lori dengan menggunakan jentera.

“Anggota bomba mendapatkan bantuan jentera berat dari sebuah kilang berdekatan untuk mengangkat kepala lori itu. Kedua-dua mangsa yang sudah meninggal dunia dapat dikeluarkan kira-kira pukul 2.23 petang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya