Pelihara meriam warisan Melayu Lela Rentaka

Pelihara meriam warisan Melayu Lela Rentaka

MERIAM lama dikenali Lela Rentaka ditemukan di Kampung Gintong di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Meriam dari abad ke-18 yang dipercayai milik kesultanan Melayu dahulu dikenali sebagai Lela Rentaka yang ditemukan di Kampung Gintong di sini perlu dipelihara dan dijaga supaya ia tidak lupus ditelan zaman.

Lela Rentaka berukuran kira-kira 1.5 meter dengan berat dianggarkan satu tan ditemukan penduduk di situ sejak awal 1960-an di tepi Sungai Pahang.

Istilah Lela merujuk kepada jenis meriam diperbuat daripada tembaga manakala Rentaka diperbuat daripada besi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, aktivis Seni Budaya Tradisi dan Sejarah Pahang, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, senjata warisan Melayu itu merupakan senjata api yang begitu digeruni pada zaman dahulu.

“Dahulu, ketika perang, Lela Rentaka dibawa bergerak dari satu tempat ke satu tempat oleh tentera gagah perkasa yang selalunya berada di barisan hadapan.

“Dalam perang saudara di Pahang, rentaka dipakai bagi mempertahankan kawasan strategik Wan Ahmad di Jerantut dan di Pekan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Arifin berharap artifak ini dijaga dan dipelihara di samping ada usaha pihak Muzium Pahang mencari bahan-bahan lain yang mungkin sudah tertimbus di sekitar Kampung Gintong.

“Pemeliharaan dan pemuliharaan artifak sejarah bangsa merupakan lambang semangat jati diri kerana kewujudan negeri dan negara dari pengorbanan dan penat jerih orang-orang dahulu,” katanya.

Pengerusi Persatuan Gendang Tradisi Silat Pahang, Hamidi Yaakob pula berharap kerajaan negeri dan Pusat mengambil inisiatif menjadikan Kampung Gintong sebagai pusat kebudayaan dan Kesenian di Pahang Barat kerana memiliki pelbagai kelebihan yang boleh ditonjolkan kepada pelancong.

Sementara itu, penduduk jati Kampung Gintong, Razak Daud, 62, berkata, Lela Rentaka menjadi mainannya ketika kecil terutama pada bulan Ramadan.

Menurutnya, bahagian lubang tengah meriam ini boleh menggunakan belerang dan diletupkan menjelang berbuka puasa yang mana bunyinya boleh kedengaran lebih dua kilometer.

“Seingat saya terdapat beberapa biji peluru meriam turut menjadi mainan kami anak-anak Kampung Gintong pada setiap petang. Inilah antara permainan anak kampung yang jauh di pedalaman semasa itu.

“Namun semua peluru itu telah hilang dan mungkin ada penduduk kampung menyimpannya atau tertimbus dalam tanah kerana kampung ini sering banjir,” katanya di sini semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN