Pelatih IPG tak dapat eBelia Rahmah kerana terima elaun bulanan - Utusan Malaysia

Pelatih IPG tak dapat eBelia Rahmah kerana terima elaun bulanan

AHMAD MASLAN menghadiri taklimat sempena lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Johor di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak menerima inisiatif eBelia Rahmah kerana mereka sudah menerima elaun bulanan sebanyak RM450.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan tidak pernah menganaktirikan golongan tersebut dan meminta ahli politik menyemak fakta berkaitan elaun pelatih IPG sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Pelajar IPG tidak dapat kemudahan ini (eBelia Rahmah) kerana mereka diberikan elaun RM450 sebulan. Ia adalah elaun yang sebelum ini sudah diberikan ketika kerajaan sebelum ini, maka ia diteruskan. Pelajar yang berada di universiti lain pula tidak dapat kemudahan RM450 sebulan ini, maka sebab itu mereka diberikan bantuan RM200. 

“Saya harap ahli politik berkenaan menyemak fakta kerana pelajar IPG, mereka dapat lebih daripada yang lain melalui elaun yang disediakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor, di sini hari ini.

Mengenai eBelia Rahmah, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memaklumkan seramai dua juta belia berusia antara 18 hingga 20 tahun dan penuntut sepenuh masa di institusi pengajian tinggi (IPT) layak menerima kredit berjumlah RM200 menerusi tiga platform e-Dompet mulai 26 Jun lalu. 

Katanya, inisiatif eBelia Rahmah yang diumumkan bawah Belanjawan 2023 bertujuan memupuk budaya tanpa tunai dalam kalangan generasi muda di samping menyokong pertumbuhan ekonomi perusahan mikro, kecil dan sederhana.

Sebelum ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa pelatih IPG dianaktirikan daripada mendapat manfaat inisiatif eBelia Rahmah 

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan tiada sebarang penebusan tunai dibenarkan bagi inisiatif eBelia Rahmah, sekali gus meminta penerima berwaspada dengan mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan menebus tunai bantuan berkenaan.

“Kita menyeru penerima agar tidak terpedaya dengan sebarang iklan dan tawaran yang menyediakan perkhidmatan tebus tunai terutamanya dalam media sosial.

“Kredit RM200 ini tidak boleh ditebus tunai dan juga tidak boleh dipindah secara ‘peer to peer’. Saya harap pelajar dan belia tidak tertipu dengan tawaran ini, memang tidak boleh,” katanya sambil memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), esok dalam usaha mengekang isu penipuan membabitkan inisiatif terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya