KOTA TINGGI: Kerajaan negeri Johor akan menjadikan pelancongan sukan sebagai daya tarikan baharu di negeri itu dengan merancang kejohanan sukan bertaraf antarabangsa termasuk sukan yang berkaitan dengan aktiviti berbasikal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perancangan menjadikan Johor sebagai hab sukan akan dimulakan pada tahun depan dengan kerjasama daripada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
Menurut Hairi, buat permulaan, perancangan itu membabitkan penganjuran Tour de Johor dan Johor Bike Festival yang mampu menarik pelancong tempatan dan juga antarabangsa, selain turut merancang beberapa sukan selain berbasikal.
“Untuk tujuan itu, kita menghantar beberapa kertas kerja kepada Menteri Besar Johor serta mengalu-alukan penganjur sukan termasuk peringkat antarabangsa yang mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program pelancongan sukan di negeri ini.
“Selain penganjuran sukan, kerajaan negeri akan menitikberatkan limpahan ekonomi setempat, di mana pelancongan sukan ini akan melibatkan keseluruhan daerah di Johor,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan pelumba L’Etape Johor 2023 di Desaru Coast hari ini.
Hadir sama pada majlis pelepasan pelumba ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Muse Group Asia, Riduwan Matni.
Jelas Hairi lagi, pihaknya turut merancang menjadikan penganjuran L’Etape Johor sebagai acara tahunan agar ia menjadi satu simbol pelancongan sukan di Johor yang mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung.
“Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mempromosikan sukan pelancongan di Johor serta terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Belia Johor, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan turut membantu kejayaan pelancongan sukan negeri Johor dengan membabitkan golongan belia negeri itu.
“Sebagai contohnya, pada kejohanan L’Etape Johor 2023 ini saya sendiri berlumba bersama 1,331 pelumba amatur.
“Saya berharap ia akan berjalan dengan lancar serta menjadi satu acara atau kejohanan sukan yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya selepas menghabiskan perlumbaan sejauh 60 kilometer.-UTUSAN