Pelajar kudung tangan kanan cemerlang STPM

Pelajar kudung tangan kanan cemerlang STPM

ROORIDA Duerorman menunjukkan tangan kanan anaknya Nurulain Natasya Marzuki semasa majlis pengumuman keputusan STPM di SMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pelajar Nurulain Natasya Marzuki, 20, yang kudung tangan kanan sejak kecil membuktikan kecacatan itu bukan penghalang apabila memperoleh keputusan cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Nurulain Natasya yang merupakan atlet olahraga bagi suka Para Sukma Malaysia (Para Sukma) Kelantan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa itu berkata, keadaan tangannya itu tidak menyebabkannya menjadi rendah diri sekali gus menganggu fokus untuk belajar.

Menurutnya, sokongan rakan-rakan seperjuangan lain menjadi pembakar semangat sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM.

“Saya buat semua ini untuk diri sendiri. Kawan-kawan juga banyak tolong dan tidak mereka pernah memandang rendah kepada saya.

“Kawan-kawan sentiasa memberi semangat kepada saya sehingga mencapai keputusan cemerlang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

NURULAIN Natasya Marzuki (tiga kiri) semasa menerima keputusan STPM di SMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARULZAMAN

Nurulain Natasya memberitahu, kehidupan sebagai atlet dan pelajar sememangnya mencabar apabila terpaksa berlatih pada sebelah petang bermula pukul 5 petang hingga 7 malam.

Katanya, selepas selesai menjalani latihan dia akan pulang ke rumah dan mengulangkaji pelajaran pada sebelah malam.

“Memang meletihkan tetapi saya cekalkan hati demi mencapai cita-cita sebagai seorang pendidik. Saya mula terlibat secara serius dalam sukan olahraga sejak di tingkatan satu dan mula menyertai Para Sukma sejak berusia 16 tahun.

“Temasya pada tahun lepas merupakan pencapaian terbaik saya apabila meraih satu emas dalam acara 200 meter dan satu perak untuk acara 100 meter. Pada 2016 saya meraih dua perak dan satu gangsa manakala pada 2018 saya meraih tiga pingat perak,” ujarnya.

Nurulain Natasya berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mengidam melebarkan langkah ke pentas Para ASEAN dan Paralimpik suatu masa nanti.

Sementara itu, bapa pelajar berkenaan Marzuki Salleh, 56, berkata, dia sentiasa mencabar Nurulain Natasya untuk mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang diceburi dan tidak mahu kekurangan anak kesayangannya itu menjadi penghalang.

“Saya sentiasa mencabar dia kerana saya yakin dia mempunyai hati yang cekal dan cukup kuat untuk mengharungi segala cabaran. Sebagai ayah saya cukup bangga dengan setiap pencapaiannya,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN