Pas tunjuk wajah sebenar - Nur Jazlan - Utusan Malaysia

Pas tunjuk wajah sebenar – Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Tindakan Pas menerima Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan hati terbuka menunjukkan wajah sebenar parti itu yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan memberi kepentingan dan laba politik kepada mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas sudah membersihkan segala salah dan silap Dr. Mahathir kepada mereka asalkan bekas Perdana Menteri itu mahu bersama-sama dalam perjuangan Pas. 

Katanya, itu bukan pertama kali Pas menyucikan ‘dosa-dosa’ musuh politik mereka dalam sekelip mata dan pernah dilakukan ketika menerima kerjasama dengan DAP, PKR dan UMNO sebelum ini.

“Pada 1999, Pas pernah sucikan ‘dosa-dosa’ DAP bila mereka nak bergabung dan bekerjasama dalam Barisan Alternatif (BA) tetapi apabila BA dibubarkan pada 2004, Pas kembali memusuhi DAP sebelum sekali lagi menghapuskan ‘dosa-dosa’ bila mereka rujuk semula dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Bukan setakat dengan DAP, dengan PKR dan UMNO pun sama juga. Masa bersama DAP dan PKR dalam BA atau PR, Pas puji melambung-lambung Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Begitu juga bila bekerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), hanya benda baik-baik saja yang Pas nampak pada UMNO. Tapi bila sekali bergaduh, Pas akan serang habis-habisan, semua hukum hakam dan dalil-dalil akan keluar untuk mereka hukum orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, Dr. Mahathir sudah menggadaikan segala prinsip, maruah dan harga diri semata-mata demi kuasa, jawatan dan kepuasan diri. 

Katanya, satu perbuatan Dr. Mahathir yang konsisten sejak dari dulu ialah beliau hanya ada agenda untuk memecah-belahkan orang Melayu untuk kepentingan dan kepuasan diri. 

“Begitulah sifat pemimpin ‘divide and rule’ yang memainkan emosi serta sentimen orang Melayu. Dialah orang Melayu dalam ‘Malay Dilemma’ yang sebenarnya. 

“Dari zaman masih bersama UMNO sehingga dia merajuk, keluar masuk parti sampailah dia buat parti baru dan keluar dari parti yang dia buat sendiri, Mahathir sudah hilang pedoman dan arah. 

“Tapi mungkin Mahathir nak cipta rekod baru lagi sebab dia suka orang sanjung sebagai yang tertinggi. Dia suka buat rekod terlama dan terbanyak sebagai PM, kali ini mungkin Mahathir nak buat rekod lagi, nak jadi PM (Perdana Menteri) yang paling banyak tukar parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya