KOTA BHARU: Pas Kelantan mendedahkan pihaknya masih belum mempunyai tarikh untuk mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Setiausahanya Wan Roslan Wan Hamat berkata, kebiasaan pengumuman calon itu akan dibuat seminggu sebelum hari penamaan.
“Tunggulah….masanya akan tiba,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, gabungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (BN-PH) Kelantan akan mengumumkan senarai penuh calon di pilihan raya negeri (PRN) pada 23 Julai ini di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Zawawi Othman berkata, selain pengumuman calon yang akan bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majlis tersebut turut diserikan dengan pelancaran jentera PRN BN-PH.
Pada PRN kali ini Pas akan bertanding di 39 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan baki selebihnya akan diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).-UTUSAN