KOTA BHARU: Kesilapan yang pernah dilakukan oleh Bekas Perdana Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Tun M kepada Pas sebelum ini bagaikan terampun selepas tokoh berkenaan tampil buat kali pertama berucap di atas pentas parti itu pada program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas sedia menerima negarawan ulung itu yang dilihat sudah berubah dalam konteks perjuangan.
“Soal sejarah…semua orang ada sejarahnya. Kalau dalam sejarah Islam, semua orang yang masuk Islam sebelum itu mempunyai banyak masalah (dengan Islam) sebagai contoh lawan Nabi.
“Namun selepas pembukaan Kota Mekah, Abu Sufian, Khalid Al-Walid dan Wahsyi telah masuk (memeluk) Islam. Kalau kita tengok, Wahsyi telah membunuh bapa saudara Nabi (Hamzah Abu Mutalib). Jadi bila dia (Tun M) sudah berubah kita terima. Sejarah tu nak buat macam mana,” katanya selepas ditemui pemberita program Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, beliau berharap sokongan yang berikan kepada Perikatan Nasional (PN) diharap dapat membersihkan kesilapan yang pernah dilakukan oleh tokoh itu sebelum ini.
Media sebelum ini melaporkan Tun M pernah mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.-UTUSAN