PARIT BUNTAR: Pesawah di Kuala Kurau di sini terpaksa menanggung kerugian besar apabila padi yang sudah masak tidak dapat dituai oleh jentuai disebabkan tanah sawah yang lembut.
Tanah yang lembut itu mengakibatkan ada jentuai yang terbenam dalam petak sawah ketika melakukan penuaian sehingga mengundang masalah yang lain pula.
Situasi itu juga menyebabkan pesawah yang menghadapi masalah itu terpaksa menggunakan kaedah tradisional bagi menuai padi mereka sebelum mereput dan terpaksa menanggung kerugian lebih besar.
Sementara itu, Jabatan Pertanian mengesahkan berlaku masalah tanah lembut di kawasan sawah padi di Kuala Kurau dan Parit Buntar hingga menyebabkan padi yang sudah masak tidak dapat dituai menggunakan jentera mesin padi.
Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridzuan Othman berkata, hasil bancian yang dibuat pihaknya mendapati kawasan tanaman Kompartmen C iaitu Mukim Kuala Kurau paling banyak terjejas iaitu seluas 256 hektar dan diikuti Parit Buntar seluas 198 hektar.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan masalah tanah lembut seluas 595 hektar.
“Punca kejadian ini disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu pada musim ini hingga tiba musim menuai menyebabkan jentera mesin tuai tidak dapat menuai dalam petak sawah,” katanya.
Menurutnya, hasil perbincangan pihak berkaitan, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi memulihkan semula keadaan tanah sawah yang mengalami masalah itu.
Beliau berkata, antara langkah drastik yang perlu dilakukan ialah penyelenggaraan sistem perparitan di dalam dan di luar lot tanaman perlu dilakukan segera supaya air dapat dikeringkan sepenuhnya apabila musim menuai.
“Selain itu, kita turut mencadangkan penggunaan jentera pembajak dan jentuai yang lebih kecil digunakan sesuai dengan keadaan tanah,” katanya.-UTUSAN