Operator kilang, peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap dua pelajar - Utusan Malaysia

Operator kilang, peniaga didakwa lakukan amang seksual terhadap dua pelajar

FAKHRUL AMIN MOHD. NOR (kanan) dan Muhammad Asri Ahmad Daud, masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Muar melakukan amang seksual terhadap dua pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang pekerja kilang dan seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua pelajar, bulan ini.

Tertuduh, Fakhrul Amin Mohd. Nor, 21, dan Muhammad Asri Ahmad Daud, 24, mengangguk faham dan mengaku tidak  bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Fakhrul Amin yang bekerja sebagai operator pengeluaran didakwa menyentuh kemaluan seorang pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun bagi maksud seksual di Kampung Parit Haji Yusof, Seri Medan, Batu Pahat pada pukul 3 pagi, 27 Julai lalu.

Sementara itu, Muhammad Asri yang juga seorang peniaga itu pula didakwa menyentuh pipi dan mulut seorang pelajar berusia 14 tahun di dua lokasi berasingan.

Kejadian pertama dilakukan di belakang sebuah rumah di Taman Temiang Jaya, Jalan Kim Kee, dekat sini pada pukul 5.40 petang, 19 Julai lalu, manakala kejadian kedua di sebuah padang lapang Taman Putera Indah, di sini pada pukul 6 petang hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas Fakhrul Amin dan RM10,000 kepada Muhammad Asri dengan masing-masing seorang penjamin selain kedua-duanya tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu melaporkan diri di Balai Polis Batu Pahat dan Muar setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 5 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serah dokumen.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya