Operasi tangkap kaki judi loteri giat dijalankan

Operasi tangkap kaki judi loteri giat dijalankan

Mohamad Farouk Eshak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggiatkan operasi mengesan kegiatan menjual nombor ekor secara haram di sekitar Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menyedari wujud kegiatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan di kedai runcit, kedai makan dan warung tepi jalan.

“Kita telah menjalankan serbuan dan menahan mereka yang terlibat. Hampir setiap hari ada tangkapan dibuat.

“Operasi giat dijalankan bagi membanteras aktiviti menjual loteri secara haram,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan sindiket pasaran gelap menjual nombor ekor didakwa aktif menguasai industri loteri seluruh negara terutama di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, sindiket itu bukan sahaja tidak membayar cukai seperti cukai pintu dan pelbagai lesen yang mencecah berpuluh ribu ringgit malah mampu mengaut keuntungan dianggarkan ratusan juta sebulan.

Datuk Mohd. Firdaus Abdullah dilaporkan berkata, penutupan kedai nombor ramalan khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak menghentikan tabiat berjudi dalam kalangan masyarakat.

Sebaliknya beliau mendakwa, sindiket pasaran gelap menjual nombor ekor semakin menguasai tiga negeri terbabit dan ia mendapat sambutan golongan ‘kaki judi’ di situ.

“Penjualan loteri haram itu dibuat menggunakan telefon bimbit dan pencetak pintar kecil untuk mencetak nombor ekor dibeli pelanggan yang dilakukan di premis-premis seperti kedai runcit, kedai makanan dan warung tepi jalan di kaki lima.

“Sindiket ini juga menawarkan khidmat penghantaran nombor ekor di pintu-pintu rumah yang mana penjual loteri haram ini sanggup datang ke rumah ‘kaki judi’,” katanya.

Dakwanya lagi, pembeli nombor ramalan judi haram ini bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bukan Islam malah orang Islam.

“Yang amat membimbangkan remaja bawah umur juga turut berjudi membeli nombor ekor haram kerana penjualannya lebih tertutup dan dilakukan secara mudah di mana-mana sahaja,” dakwanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya