KOTA BHARU – Nik Omar Nik Abdul Aziz mengambil pendekatan ‘berpuasa’ daripada memberikan sebarang respon berkait kemelut yang sedang menimpa adiknya Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh.
Reaksi itu diberikan oleh anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapatkan pandangan beliau selepas Nik Abduh membuat keputusan untuk berpuasa dan berehat daripada arena politik.
“Terima kasih atas panggilan…ambo (saya) juga puasa dari ulasan berkaitan kemelut yang menimpa Ustaz Nik Abduh,” katanya.
Utusan Online hari ini melaporkan, bekas Ahli Parlimen Bachok itu membuat kejutan dengan mengumumkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada arena politik tanah air.
Nik Abduh menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh rehat beliau itu.
Menurutnya, ia adalah tempoh paling sukar buat diri beliau dan bondanya.
Difahamkan, Nik Abduh mengambil keputusan itu selepas berlaku konflik selepas namanya tidak tercalon untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya negeri (PRN).
Sebelum ini, terdapat ura-ura bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan Allahyarham bapanya.
Mengukuhkan lagi dakwaan itu, apabila Mursyidul Am Pa,s Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan bahawa nama Nik Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu pada PRN, 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, nama Nik Abduh terus tercicir daripada arena politik negara selepas namanya tidak tersenarai pada PRN.
Pada pengisytiharan calon PRN DUN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini, Pas turut membuat kejutan selepas menggugurkan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fathan Mahmood dan menggantikan dengan muka baharu iaitu Nik Asma Baharum Nik Abdullah yang merupakan seorang peguam.
Keadaan menjadi lebih panas apabila Nik Din Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah merupakan individu yang menyebabkan nama Nik Abduh tercicir sebagai calon wakil rakyat.
Nik Din yang merupakan adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat berkata, sebelum itu dia bertemu dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 23 Jun lalu di Rusila, Terengganu dan beliau memberi jaminan Nik Abduh akan diangkat sebagai calon.
Menurutnya, dia hairan selepas mendapati anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi DUN Chempaka.-UTUSAN