Naik taraf Muzium Naning supaya lebih interaktif

Naik taraf Muzium Naning supaya lebih interaktif

MUZIUM Warisan dan Sejarah Naning yang terletak di Taboh Naning, Melaka ditutup sementara untuk kerja-kerja naik taraf demi keselamatan dan keselesaan pengunjung. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Muzium Warisan dan Sejarah Naning yang berwajah baharu akan memberikan manfaat dua hala kepada sektor pelancong di sekitar Taboh Naning di sini menjelang Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd. Zin berkata, pelbagai maklumat seperti adat pertabalan, senjata, pakaian dan tokoh-tokoh penting Naning akan disampaikan dengan lebih interaktif kepada pengunjung.

Katanya, antara tokoh yang kerap dikaitkan dengan Naning adalah Datuk Abdul Said Omar atau lebih dikenali sebagai Dol Said.

“Seperti mana hasrat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mahu mengangkat Adat Perpatih Naning sebagai warisan untuk tatapan generasi akan datang. Selain ke pusat membeli-belah, pelancong yang datang ke Taboh Naning kini boleh singgah di muzium untuk melihat adat ini dengan lebih dekat.

“Mengetahui kisah tokoh pejuang seperti Dol Said selepas melawat muzium, mereka pasti ingin singgah di makam beliau yang terletak di belakang Masjid Datuk Dol Said. Secara tidak langsung tempat-tempat bersejarah di sini sentiasa dilawati pelancong.

“Saya telah memohon kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk mencari sedikit peruntukan bagi tujuan mengindahkan kawasan serta menghias nama-nama yang ada di tanah perkuburan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Zulkiflee, proses menaik taraf muzium berkenaan telah hampir selesai dan hanya menunggu arahan daripada kerajaan negeri untuk dibuka semula.

Menurutnya, kerja baik pulih dilakukan Perzim dengan anggaran kos kira-kira RM500,000 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelancong.

“Kerja ubah suai telah bermula awal tahun ini dan sebenarnya sudah siap, tetapi kita tunggu arahan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu. Pelbagai artifak bersejarah Adat Perpatih Naning akan dipamerkan termasuk baju, tombak dan keris.

“Saya juga difahamkan Perzim sedang berusaha untuk menambah lagi bahan pameran dan telah mengenal pasti beberapa individu yang mempunyai hak pemilikan terhadap khazanah lama,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya