Murid dirotan trauma, jadi pendiam, kurang selera makan - Utusan Malaysia

Murid dirotan trauma, jadi pendiam, kurang selera makan

A. SARASWATHY menunjukkan semula cara anaknya dirotan oleh seorang guru besar di sebuah sekolah di Jementah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Murid lelaki tahun lima yang didakwa dirotan oleh seorang guru besar sehingga luka pada bahagian leher dan muka mengalami trauma dan menjadi pendiam serta kurang selera makan.

Menurut ibunya, A. Saraswathy, 41, anak bongsu daripada tiga beradik itu juga kini sering ketakutan dan tidak mahu pergi ke sekolah.

“Saya bimbang melihat keadaan dia selepas kejadian yang berlaku Selasa lalu.

“Kebiasaannya dia seorang yang ceria. Saya telah berjumpa pihak pentadbiran sekolah dan memaklumkan situasi terkini atas apa yang berlaku terhadap anak,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, dia tidak berhasrat memindahkan anaknya ke sekolah lain tetapi berharap pihak pentadbiran dapat mempertimbangkan sesuatu, antaranya menukar guru berkenaan ke sekolah lain.

“Sebagai ibu, saya tidak kisah jika anak dirotan atau apa sahaja asalkan tidak keterlaluan untuk mendidik demi kebaikan murid.

“Tindakan guru wanita itu dipercayai merotan anak saya dengan menggunakan dua rotan sukar diterima apabila memikirkan risiko dialami anak saya kini yang mengadu sukar menelan makanan dan air liur kerana bahagian lehernya yang cedera terkena rotan,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang murid lelaki tahun lima cedera di beberapa bahagian badan termasuk leher dan muka didakwa dirotan seorang guru besar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah memaklumkan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya