Muhyiddin dakwa Anwar berdepan masalah besar - Utusan Malaysia

Muhyiddin dakwa Anwar berdepan masalah besar

MUHYIDDIN Yassin ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan di Sikamat, Seremban malam semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa kini berhadapan masalah besar terutama berkaitan isu dalaman parti yang kini dihadapi oleh Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan parti komponen MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang menunjukkan tiadanya kesepakatan yang terbentuk dalam parti-parti dalam kerajaan ketika ini.

“Masalah besar mereka antara lain, sekarang ada gabungan BN, BN terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, apa yang jadi kepada MCA dan MIC? terkeluar dan tidak masuk.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah MCA dan MIC tidak bertanding dalam pilihan raya, kenapa? sebab tiada kesepakatan di antara mereka,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, Anwar berdepan masalah kerana BN pula dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri yang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah.

“Apa masalah Anwar? jika tiada sokongan BN, beliau tidak akan jadi Perdana Menteri. Sudah timbul kacau bilau politik dalam PH dan kacau politik dalam BN, kalau sudah parti yang mendukung kerajaan Pusat begitu keadannya, zahirnya nampak berpadu, sebenarnya tidak lagi, tunggu masa sahaja akan terburai dan tersungkur jatuh,” tambahnya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pada itu sekali lagi mendakwa Anwar berbohong dalam isu pelupusan hutang peneroka Felda.

“Setahu saya ia bukan penghapusan hutang lapuk, hapus maksudnya apa? batal, buang, ada bawa duit apa-apa dalam akaun? batalkan sahaja tidak perlu bayar, itu sahaja, yang kamu bayar RM900 juta itu mana saya tahu.

“Mungkin itu sebahagian daripada bayaran sukuk, waktu saya jadi Perdana Menteri, antara kita mahu buat adalah untuk memulihkan kembali Felda yang berdepan masalah yang banyak. Bagi membantu proses pemulihan, diputuskan oleh Kabinet supaya kita keluarkan bon ataupun sukuk bernilai RM9.9 bilion.

“Itu bon, ia digunakan untuk pemulihan, penghapusan ini bukan bon, bukan duit masuk dalam akaun, hapuskan la sahaja,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya