Mosti umum kerjasama dua syarikat bioteknologi, tangani isu pengeluaran makanan - Utusan Malaysia

Mosti umum kerjasama dua syarikat bioteknologi, tangani isu pengeluaran makanan

CHANG Lih Kang (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Giva Kuppusamy (kiri) dan Pengasas Bersama BioLoop, Mah Jun Kit pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Sento Biotech dan BioLoop di Bukit Pelandok, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) hari ini mengumumkan perjanjian usahasama antara dua buah syarikat bioteknologi iaitu Sento Biotech Sdn. Bhd. (Sento Biotech) and BioLoop (BioLoop) Sdn. Bhd. bagi menangani isu kelangsungan pengeluaran makanan melalui bioteknologi,

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kerjasama kedua-dua syarikat itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sifar kelaparan serta penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab. 

“Kerajaan komited untuk menangani cabaran global semasa termasuk isu keselamatan makanan melalui sains dan teknologi. Matlamat jangka masa panjang kami adalah untuk mengurangkan kebergantungan yang semakin meningkat kepada makanan import demi kelestarian industri makanan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Sento Biotech dan BioLoop di Bukit Pelandok, di sini hari ini. 

Perjanjian di antara kedua-dua pihak itu juga pada masa yang sama memberi fokus kepada tanaman yang kurang dimanfaatkan untuk penternakan larva lalat askar hitam atau dikenali larva black soldier fly (BSF). 

Sento Biotech adalah sebuah syarikat berteknologi yang mengkhususkan kepada pengeluaran BSF menggunakan bahan makanan lestari dan syarikat ini juga menumpukan kepada menyediakan diet berkualiti tinggi untuk spesies akuakultur. 

Selain itu, syarikat BioLoop adalah syarikat perintis teknologi dalam pengeluaran BSF dan melalui kerjasama kedua-dua syarikat ini mereka menyasarkan untuk mewujudkan rantaian bekalan lestari untuk BSF. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sento Biotech, Giva Kuppusamy berkata, kerjasama antara Sento Biotech dan BioLoop ini merupakan satu pencapaian penting yang menyumbang kepada kemampanan industri pengeluaran makanan.

“Kerjasama ini dapat menerajui era baharu inovasi, memperkasakan tanggungjawab kepada alam sekitar dan membentuk pencapaian baharu dalam bidang bioteknologi melalui startup agritech.

“Matlamat kami melalui kerjasama ini adalah untuk membentuk masa depan yang mampan, memupuk ekosistem makanan yang berdaya tahan dan sumber yang lestari serta memperkayakan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya,” tambahnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya