Menyamar pegawai polis, tiga individu ditahan - Utusan Malaysia

Menyamar pegawai polis, tiga individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga individu termasuk seorang wanita berjaya ditangkap polis susulan dipercayai terbabit dalam kes menyamar pegawai polis bagi tujuan menipu untuk membebaskan tahanan di Kuala Pilah, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya telah menerima laporan kelmarin dari seorang wanita yang menyatakan terdapat seorang anggota polis datang mencarinya dan telah menyerahkan nombor telefon untuk dihubungi.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah menghubungi nombor yang diberikan dan telah bercakap dengan seorang yang tidak dikenali namun memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

“Mangsa telah diberi tahu suami mangsa boleh dibebaskan daripada tahanan polis dengan membuat bayaran wang jaminan dan meminta mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang wanita sebagai wang jaminan sebanyak RM9,000.

“Mangsa telah membuat bayaran berkenaan secara pindahan bagaimanapun berasa telah ditipu setelah tidak dapat berhubung semula dengan pegawai polis berkenaan. Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujar Ahmad Dzaffir lagi, bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan telah membuat serbuan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan berjaya menangkap tiga individu berusia 22 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan serta merampas tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad mesin juruwang automatik (ATM).

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, akaun tersebut juga terlibat dengan dua lagi kes di Langkawi, Kedah dengan kerugian RM20,000 dan Muadzam Shah, Pahang dengan kerugian sebanyak RM5,000 dengan menggunakan modus operandi hampir serupa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya