'Menteri perlu turun padang lihat kawasan Lapangan terbang Pulau

‘Menteri perlu turun padang lihat kawasan Lapangan terbang Pulau Tioman’

NOOR FADZLI SHAH NOOR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim diminta untuk tidak hanya meneliti laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) berkenaan cadangan Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman Baharu (NTIA) di Pulau Tioman.

Penganalisis Biro Polisi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Noor Fadzli Shah Noor Hashim sebaliknya berkata, menteri yang bertanggungjawab, Nik Nazmi Nik Ahmad perlu turun padang dan melihat sendiri keadaan sebenar di situ.

“Menteri perlu menghantar pasukan pakar untuk turun ke lokasi yang dikatakan sebagai tapak projek bagi melihat sendiri keadaan sebenar dan keputusan atau analisis bukan hanya melalui laporan oleh pihak terdahulu.

“Banyak pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyampaikan permasalahan ini namun masih diambil enteng setelah beberapa tahun berlarutan.

“Muda bersedia untuk berbincang dan juga bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan dalam melihat dasar dan polisi yang diguna pakai kini adakah masih relevan untuk mengatasi serta menjadi pemudah cara kepada kemelut isu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Noor Fadzli Shah yang juga aktivis alam sekitar mengulas kenyataan Nik Nazmi baru-baru ini bahawa kementeriannya akan meneliti laporan EIA terlebih dahulu berhubung cadangan pembangunan NTIA di Pulau Tioman sebelum memberikan sebarang ulasan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan EIA membabitkan cadangan pembangunan lapangan terbang yang dikatakan berisiko menyebabkan kerosakan fizikal kehilangan habitat hidupan marin di pulau berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, pembangunan lapangan terbang itu di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu malah laporan EIA mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu akan terancam.

Akhbar ini kelmarin dalam ruangan Rencana turut menyiarkan artikel bertajuk “Apa manfaat bina lapangan terbang baharu di Pulau Tioman” hasil tulisan aktivis belia alam sekitar dan Pengasas Bersama Project Ocean Hope, Mogesh Sababathy.

Noor Fadzli Shah dalam pada itu berkata, Muda berpendirian bahawa tidak perlu ada perbincangan lanjut tentang bagaimana untuk merealisasikan lapangan terbang berkenaan.

“Sudah jelas banyak kemusnahan akan berlaku dan merugikan aset dan produk pelancongan dalam kerakusan untuk menambah jumlah bilangan pelancong yang masuk ke Pulau Tioman.

“Muda tidak menyokong apa juga bentuk kemusnahan apa lagi jika mengganggu dan merosakkan ekosistem alam sekitar yang akan memberi kesan negatif kepada penduduk setempat.

“Implikasi akibat projek ini amat besar kepada alam sekitar serta hidupan marin yang menjadi kebanggaan penduduk Pulau Tioman bahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya