Mendapan: Projek  ECRL selamat diteruskan - Utusan Malaysia

Mendapan: Projek  ECRL selamat diteruskan

KEJADIAN mendapan tanah di KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur arah timur dan barat (Bentong) yang menghalang lorong kiri dan kanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan tiada tanda-tanda mendapan atau  berlaku tanah runtuh  di lokasi  projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

MRL dalam kenyataan memaklumkan,  MRL telah memeriksa sekitar projek itu  sejak pembukaan persimpangan Bentong di Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK).

“Selepas menjalankan pemeriksaan teliti, kami ingin menekankan bahawa tiada sebarang tanda  berlaku runtuhan pada struktur terowong yang terletak di bawah KM-61 di KLK.

“Kami ingin menegaskan, terowong Bentong 2 kekal utuh di sebalik insiden mendapan tanah tempoh hari. Struktur terowong itu selamat untuk  kerja-kerja pembinaan yang dijalankan.

“Keselamatan pengguna adalah keutamaan kami dan akan terus melakukan pemeriksaan jika terdapat sebarang tanda-tanda bahaya di kawasan tersebut,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, MRL turut menjelaskan bahawa insiden  mendapan tanah yang berlaku di kawasan terowong pada 25 Julai lalu adalah kejadian berbeza.

“MRL dengan kerjasama kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) akan mengendalikan pemeriksaan lanjut mengenai insiden mendapan tersebut.

“Kami juga akan memaklumkan kepada umum mengenai sebarang makluman terkini mengenai perkara ini. Pada masa sama, kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung insiden mendapan itu bagi memastikan keselamatan semua pihak,” jelas kenyataan.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan lega apabila laluan ke arah timur sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Bagaimanapun, laluan arah barat menghala ke Kuala Lumpur masih ditutup. Sehubungan itu, syarikat konsesi telah mengaktifkan laluan kontra menghala ke ibu negara di kawasan terlibat iaitu di KM67.95 hingga KM65.9, bermula jam 10.15 pagi tadi.

“Justeru, semua kenderaan boleh melalui Lebuh Raya KLK untuk ke Kuantan dan Kuala Lumpur. Kelewatan pembukaan semula semua laluan di kawasan itu terpaksa dibuat demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan ini dengan rapat dan meminta pegawai, jabatan dan agensi terlibat supaya melaporkan kepada saya dari masa ke masa. Saya ingin menegaskan, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan saya dan Kementerian ini,”katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN