Media 'jambatan' informasi kerajaan-rakyat - Utusan Malaysia

Media ‘jambatan’ informasi kerajaan-rakyat

MOHD. HAIRI MAD SHAH (tengah) bergambar dengan pengamal media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU:  Pengamal media berperanan besar sebagai ‘jambatan’ yang menyalurkan pelbagai maklumat dan laporan berita, namun perlu seimbang dan tidak ditokok tambah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, media bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat serta usaha kerajaan yang memerintah tidak kira Persekutuan mahupun di peringkat negeri kepada rakyat.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, peranan media menjadi lebih penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri pada bulan depan.

“Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ini, peranan media sememangnya dilihat lebih penting.

“Perkongsian maklumat serta laporan berita perlu seimbang dan tidak ditokok tambah atau diperoleh daripada sumber tidak sahih.

“Saya percaya rakan-rakan media bertugas secara profesional dan mengamalkan kod etika sebagai pengamal media,” katanya mewakili Menteri Besar merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor 2023/2024 di Hotel Holiday Villa, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim; Pengarah Penerangan Johor, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, tugas sebagai pengamal media sememangnya amat dekat baginya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan dengan akhbar Watan suatu ketika dahulu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta KMJ untuk menceburi bidang lain seperti keusahawanan atau koperasi yang dilihat mampu menjana pendapatan.

“Saya lihat KMJ yang menghimpunkan rakan-rakan media daripada pelbagai agensi dan keahlian yang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan atau koperasi.

“Ia merupakan satu pilihan yang baik kerana mampu memberi pulangan keuntungan yang diperoleh untuk kebajikan ahli kelab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya