MCA mahu meremajakan semula parti agar kekal relevan - Utusan Malaysia

MCA mahu meremajakan semula parti agar kekal relevan

WEE Ka Siong hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti MCA dalam proses meremajakan semula parti itu dalam usaha menarik golongan muda agar kekal relevan dalam pentas politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ahli MCA kini majoriti besar berusia 40 tahun ke atas dan menjadi matlamat utama parti untuk menambah ahli muda seawal usia 18 tahun.

“Secara relatifnya, saya boleh katakan ahli kami semakin tua, mereka yang berusia lebih 40 tahun kini mencecah 90 peratus (daripada keseluruhan ahli MCA).

“Jadi, kita perlu meremajakan semula MCA dan menarik penglibatan golongan muda agar parti kekal relevan kerana dengan adanya mereka parti boleh pergi jauh (dalam politik negara),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan 2023 di sini hari ini.

Jelas Ka Siong, pelbagai medium akan digunakan untuk mencapai sasaran bagi menambah ahli muda bukan hanya dengan menggunakan sentimen politik tetapi melalui aktiviti sukarelawan.

“Sebenarnya pasaran dalam platform ini luas tetapi kita hanya menganggap mereka (orang muda) tidak suka berpolitik. Ini bukan soal politik semata-semata, kita boleh menarik golongan muda menyertai MCA melalui aktiviti sukarelawan seperti Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) yang membantu golongan kurang berkemampuan dan mangsa banjir,” katanya.

Ka Siong berkata, MCA juga perlu mendampingi mahasiswa memandangkan mereka mempunyai dua institut pengajian tinggi swasta iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang mempunyai hampir 50,000 orang pelajar.

Tambah beliau, apa yang lebih penting bakat-bakat baharu dalam MCA perlu dilatih sebagai pemimpin yang petah berbahasa dan mempunyai ilmu untuk membidas persepsi yang salah.

“Kalau seseorang itu petah berbahasa Melayu pergi ke kampung cakap Melayu dia dapat meyakinkan masyarakat di situ, begitu juga ketika bercakap dengan orang Cina dengan berfakta, ada auranya. 

“Jika kita ada berpuluh orang macam itu rasanya orang akan nampak kewujudan MCA sebagai sebuah parti yang relevan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ka Siong mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bertanding di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan akan membantu Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan gabungan itu. 

MCA dan MIC sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini bagi memberi tumpuan terhadap PRU16.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghormati keputusan itu dan menghargai pendirian ditunjukkan oleh kedua-dua parti berkenaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya