KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam menyifatkan Allahyarham Mat London sebagai seorang individu yang sangat merendah diri, mudah berkawan dan sangat mudah didekati.
Walaupun berbeza usia lima tahun dengan arwah, namun, Yusof berkata, Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, 74, tidak pernah merasakan dirinya lebih senior dan hebat daripada orang lain.
“Anak saya buat filem pun dia pernah cakap pada saya kena gilap bakat mereka. Dia juga pesan industri filem perlu anjakan dan orang lama perlu bagi peluang pada anak muda.
“Saya masih ingat semasa kejayaan tiga filem Syamsul, dia adalah antara individu yang mengagumi anak saya dan cakap Syamsul ada bakat besar,” katanya mengenali arwah yang pernah bekerja di sebuah syarikat iklan, pada awal 1980an.
Sementara itu, pelakon dan pelawak, Bell Ngasri bangga kerana pernah bekerjasama dengan arwah sejak dia mula berlakon ketika zaman kanak-kanak.
Kongsinya, arwah pernah mengarah dua drama berjudul 2 petang dan Larut semasa dirinya membintangi naskhah tersebut.
“Kalau ikut sejarah, saya bersama arwah sejak kecil lagi. Masa drama 2 petang, arwah Mamat Khalid ialah penulis skrip, Mat London pula sebagai pengarah.
“Saya ini kira membesar dengan nama-nama hebat sampai berlakon bersama dalam drama bersiri Kampung Pisang. Naskhah itu dapat mengumpulkan pelakon-pelakon lama dan hebat.
“Mereka adalah pelakon yang saya tonton sejak kecil. Saya pun jadi hairan kerana akhirnya dapat berada dengan mereka sekali dalam satu drama,” katanya.
Pada sama sama, Bell menyifatkan arwah sebagai individu yang kelakar serta pelakon senior yang sangat dihormati dan disegani.
“Arwah masih bertenaga untuk berlakon ketika di set penggambaran. Pengalaman dengan arwah seronok.
“Saya pernah duduk serumah semasa penggambaran bersama arwah. Sebab itu, kami jadi sangat rapat dan sayang antara satu sama lain,” kongsinya.
Sejak arwah dimasukkan ke hospital bulan lalu, Bell berkata, dia berniat untuk menziarahi arwah namun hajat tersebut tidak kesampaian kerana ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.