Masalah bekalan air ganggu rutin harian pelajar UM

Masalah bekalan air ganggu rutin harian pelajar UM

Kira-kira 300 pelajar Asasi Pangajian Islam Universiti Malaya kampus Bachok, Kelantan berdepan krisis bekalan air bersih sejak 22 Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Masalah bekalan air yang membelenggu Universiti Malaya (UM) Kampus Bachok di sini sejak 22 Julai lalu telah mengganggu rutin harian kira-kira 300 pelajar program Asasi Pengajian Islam.

Situasi itu menyebabkan penuntut berdepan kesukaran untuk mandi dan membasuh pakaian serta mengurus keperluan harian berikutan bekalan air bersih sedia ada tidak mampu menampung keperluan penggunaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang bapa, Ismail Abdullah, 49, berkata, pihak pengurusan pusat pengajian berkenaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah itu sebelum ia bertambah parah.

Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil oleh universiti dengan menyediakan tangki simpanan dan membina telaga tiub yang lengkap dengan proses rawatan air.

“Saya lihat pelajar dari luar Kelantan lebih terkesan untuk berdepan masalah ini berbanding pelajar tempatan.

“Hal ini kerana pelajar tempatan, mereka bantuan ibu bapa mereka untuk mencuci pakaian dan sebagainya,” katanya ketika ditemu di sini semalam.

Seorang lagi bapa pelajar, Abdullah Awang, 50, memberitahu, pihaknya memahami masalah yang dihadapi itu namun tidak wajar bagi pelajar untuk menghadiri kuliah tanpa mandi pada waktu pagi.

“Saya difahamkan pelajar berdepan kesulitan pada awal pagi dan menjelang petang. Besar harapan saya agar pengendali perkidmatan air dapat menyediakan bekalan dalam kuantiti mencukupi untuk keperluan pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik Pengajian Islam UM, Dr. Wan Rohani Wan Mokhtar ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara tersebut setakat ini Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) sudah menghantar bekalan air menggunakan lori untuk keperluan pelajar.

Katanya, pada masa sama UM sedang berusaha mengambil langkah-langkah alternatif dalam menyelesaikan masalah yang kali pertama berlaku itu semasa menerima kehadiran pelajar baharu.

“Harapan kami agar ibu bapa memberi kepercayaan kepada pengurusan UM, semua pihak sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah ini.

“Air bukan tiada langsung kerana pelajar masih dapat mandi dan membasuh pakaian. Hanya kadang kala sahaja air terputus bukan putus berpanjangan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya