Maritim Malaysia tahan dua kapal pindah minyak diesel tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan dua kapal pindah minyak diesel tanpa kebenaran

SEBUAH kapal tangki dan sebuah kapal kargo ditahan pihak Maritim Malaysia selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi, Port Dickson petang semalam.-GAMBAR/IHSAN MARITIM MALAYSIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Pulau Perjudi di sini petang semalam. 

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, ketika bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni/Op Tiris, telah melihat dua kapal merapat antara satu sama lain.

Menurut beliau, kedua-dua kapal berkenaan disyaki melakukan aktiviti ship to ship (STS) yang mencurigakan di kedudukan satu batu nautika tenggara Pulau Perjudi sekitar pukul 3 petang.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak diesel kepada sebuah kapal kargo tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti terbabit.

“Kapal kargo sepanjang 31 meter yang berdaftar di Port Dickson itu dikendalikan oleh empat kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga tempatan. Kapal tangki pula didaftarkan di Zanzibar, Tanzania dan dikendalikan oleh lima kru lelaki termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua kapal seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran. 

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN