Makmal proses dadah digempur, empat suspek ditahan - Utusan Malaysia

Makmal proses dadah digempur, empat suspek ditahan

KAMARUL ZAMAN MAMAT (tengah) menunjukkan peralatan makmal dan bahan-bahan memproses ketamin yang dirampas pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebuah makmal memproses dadah jenis ketamin yang beroperasi sejak April lalu berjaya dibongkar dalam operasi pada 25 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota bermula pukul 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

Seramai empat lelaki yang berusia antara 28 hingga 44 tahun ditahan dalam dua serbuan, masing-masing di makmal tersebut dan kawasan tepi jalan.

“Hasil saringan urin mendapati dua suspek positif dadah jenis ketamin, manakala dua suspek turut mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Dalam serbuan itu juga, polis merampas 4.63 kilogram (kg) ketamin bernilai RM277,860 dan 166 liter cecair ketamin bernilai RM1.85 juta. Selain itu, turut dirampas pelbagai perkakas memproses dadah, beberapa buah kenderaan, jam tangan dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM2.45 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner, M. Kumar dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin.

Kamarul Zaman berkata, dadah berkenaan boleh menampung penggunaan seramai 853,000 penagih.

Beliau memberitahu, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan sebuah  kilang yang tidak berpapan tanda sebagai pusat memproses dadah.

“Kesemua suspek telah dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

“Dalam masa sama, polis masih memburu tiga ahli sindiket dadah berkenaan iaitu T. Prakash, 33, S. Steven, 48, dan Mohamad Basir Nahupicher, 32, yang dipercayai turut terlibat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sejak Januari hingga 26 Julai lalu, pihaknya telah menahan seramai 9,787 suspek berkait pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan bernilai RM27.17 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya