MAINS, KPJ Healthcare buka sebuah lagi pusat dialisis wakaf - Utusan Malaysia

MAINS, KPJ Healthcare buka sebuah lagi pusat dialisis wakaf

ZAINAL Said (tengah) dan Norhaizam melawat Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS Rembau pada majlis perasmiannya di Rembau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) membuka sebuah lagi Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS bagi membantu menyediakan rawatan dengan harga rendang kepada golongan asnaf dan fakir miskin yang memerlukan. 

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, pusat dialisis yang terletak di daerah ini itu merupakan yang kedua dibuka selepas Pusat Rawatan Dialisis Wakaf An-Nur yang terletak di Senawang, Seremban. 

“Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS Rembau ini merupakan satu projek jalinan kerjasama antara MAINS dan Hospital Pakar KPJ Seremban bersama Waqaf An-Nur Corporation bagi mewujudkan pusat dialisis berkonsepkan wakaf yang menyediakan rawatan berkualiti pada harga rendah dan berpatutan untuk golongan asnaf serta golongan memerlukan di daerah Rembau.

“Semoga pembukaan Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS Rembau ini dapat memberi impak besar kepada masyarakat setempat tentang kewujudan pusat dialisis berkonsepkan wakaf sekali gus memberi gambaran lebih jelas tentang manfaat zakat dan wakaf kepada masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha MAINS, Zainal Said pada Majlis Perasmian Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS Rembau di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, pusat dialisis tersebut pada asalnya merupakan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) sebelum dinaik taraf menjadi Pusat Dialisis Waqaf An-Nur MAINS dan mula beroperasi pada 12 Jun lalu.

“Pusat dialisis ini dilengkapi dengan lima mesin dialisis dan menawarkan perkhidmatan yang sama dengan klinik KWAN lain di seluruh negara, termasuk pemeriksaan kesihatan, rawatan dan konsultasi. Ia juga merupakan pusat kedua yang dibuka di Negeri Sembilan dengan kerjasama MAINS.

“Mesin dialisis yang disediakan menggunakan penapis dialisis sekali guna, iaitu penapis untuk mengeluarkan cecair berlebihan daripada darah pesakit dan bukannya menggunakan penapis yang boleh dikitar semula untuk mengelakkan jangkitan dan kemungkinan untuk berlaku komplikasi,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya