KOTA BHARU: Status proses mediasi antara 291 keluarga peserta terlibat Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) Rantau Manis, Gua Musang yang hilang pekerjaan terhadap Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Oktober depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menetapkan tarikh itu selepas sesi mediasi antara peserta terbabit selaku plaintif yang diwakili peguam, Hisham Fauzi dan pihak Kesedar sebagai defendan yang diwakili peguam, Arham Rahimy Hariri.
Hisham ketika ditemui pemberita berkata, tarikh yang ditetapkan mahkamah itu merupakan tarikh akhir bagi Kesedar mempertimbangkan tiga cadangan penyelesaian daripada plaintif-plaintif.
Menurutnya, sekiranya cadangan itu ditolak atau tiada keputusan oleh Kesedar, maka mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes terbabit.
“Tempoh itu diberikan bagi membolehkan pihak Kesedar membuat keputusan sama ada menerima tuntutan peserta berkenaan.
“Cadangan penyelesaian peserta dalam proses mediasi antaranya memohon untuk bekerja semula di ladang kelapa sawit seluas 3.7 hektar dengan status peneroka dan mereka juga meminta segala faedah yang ada seperti dalam perjanjian peneroka biasa.
“Bagi syarat kedua, peserta juga memohon untuk mendapatkan wang sagu hati sebanyak RM8,400 untuk setiap satu keluarga terlibat. Selain itu, mereka juga memohon supaya Kesedar memberi hak milik tanah seluas 0.2 hektar iaitu tapak rumah dan kebun tanaman koko diberikan kepada peserta,” katanya.
Hisham memberitahu, seramai 585 peserta menyertai PAKS dan sebahagian daripada mereka sudah menandatangani surat persetujuan menyerahkan semula ladang mereka kepada Kesedar.
Katanya, peserta yang terlibat kemudiannya diberikan hak milik tapak rumah, ladang koko seluas 0.2 hektar dan wang gratuiti (sagu hati) sebanyak RM8,400.
“Jadi, sebanyak 291 keluarga peserta yang tidak bersetuju menyerah ladang mereka turut memohon diberikan hak yang sama.
“Sebelum ini, tuntutan asal ganti rugi peserta melibatkan hak milik tanah ladang, lot rumah dan agihan kewangan sebanyak RM46 juta bagi keseluruhan peserta,” ujarnya.
Hisham berkata, sehubungan itu, 291 keluarga peserta yang hilang pendapatan memfailkan saman terhadap Kesedar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 21 Jun tahun lalu.
Terdahulu, sebanyak 585 peserta PAKS dilaporkan hilang pekerjaan apabila projek tersebut diambil alih oleh Kesedar daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkuat kuasa 1 Januari tahun lalu.
Peserta mendakwa, segala perjanjian antara mereka dengan ECERDC terbatal selepas projek itu diambil alih Kesedar yang turut bekerjasama dengan majlis terbabit sebelum ini.
Keadaan itu menyebabkan peserta yang mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit tidak lagi dibenarkan masuk ke lot sawit masing-masing.
PAKS yang bermula 2009 menelan belanja RM240 juta bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Dalam tempoh 12 tahun, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 keluarga dengan meningkatkan taraf hidup apabila diberikan kediaman dan jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit.-UTUSAN