KUALA LUMPUR: Penganggur yang ditahan kerana memecahkan dinding kaca Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, di sini, awal pagi kelmarin, direman empat hari bermula hari ini hingga 3 Ogos ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ujian saringan air kencing terhadap lelaki tempatan berusia 36 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, suspek ditahan di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit di sini, kira-kira pada 10 malam tadi.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku membaling batu sehingga memecahkan dinding kaca Pejabat Agung PAS, awal pagi kelmarin.
“Suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana tidak sukakan parti Pas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau, membabitkan sembilan rekod kesalahan dadah dan tujuh rekod kesalahan jenayah.
Siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat.
Dalam kejadian pada 5.30 pagi, Sabtu lalu, seorang lelaki tidak dikenali membaling batu hingga menyebabkan cermin kaca hadapan bangunan pejabat Pas pecah sebelum beredar dengan menunggang sebuah motosikal.– UTUSAN