JEMPOL: Kerajaan memberikan komitmen bagi pembinaan sebuah lebuh raya bagi menjimatkan masa perjalanan antara daerah Seremban ke Jempol.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meluluskan pembinaan lebuh raya tersebut sekiranya keadaan ekonomi negara baik dalam tempoh setahun.
Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, kerajaan akan mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Madani Seremban-Jempol itu pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bulan hadapan.
“Insya-Allah, dalam program susulan (perancangan), dalam masa setahun kalau ekonomi meningkat dari sekarang ini kita akan bina Lebuhraya Madani Seremban-Jempol, Felda Madani Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Program Karnival Segalanya Felda di Dataran Seri Jempol, Feldajaya Selatan Wilayah Raja Alias, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Sebagai rekod, Projek Lebuh Raya Seremban-Jempol sebelum ini menjadi antara cadangan yang terkandung dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2030.
Sementara itu Anwar berkata, pembinaan lebuh raya itu akan mengangkat taraf kehidupan rakyat dengan penambahbaikan fasiliti yang akan menjimatkan masa perjalanan.
Bagaimanapun beliau mengakui, projek itu melibatkan kos yang tinggi.
“Lebuh raya ini mahal, tetapi saya faham ia akan membantu mengangkat taraf hidup rakyat. Insya-Allah ia akan diluluskan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM550,000 setiap tahun bagi menampung kos operasi sebanyak 2,678 lampu jalan di Felda Wilayah Raja Alias yang mempunyai 49 tanah rancangan Felda.
“Saya bukan mahu tambah tiga (sahaja) lampu jalan di felda ini, saya sediakan 2,678 lampu jalan dan setiap tahun kos operasinya RM550,000,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata, bagi menyediakan infrastruktur kesihatan yang lebih komprehensif buat warga peneroka, Kerajaan akan membina 12 buah pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.
“Bagi Felda Wilayah Raja Alias, kerajaan bercadang untuk menaik taraf sebuah bangunan di Felda Serting Hilir untuk dijadikan Kompleks Komuniti Setempat yang akan menempatkan pusat hemodialisis, pusat sukan, perpustakaan, kemudahan penginapan serta dewan makan dengan peruntukan berjumlah sebanyak RM1 juta.
“Kemudahan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 157 pesakit dalam kalangan warga Felda di sini dan juga kepada pesakit-pesakit lain yang berdekatan.
“Fasiliti lain seperti pusat sukan dan perpustakaan yang terdapat di kompleks ini juga boleh dimanfaatkan oleh golongan belia di kawasan sekitar,” katanya lagi.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, kerajaan akan memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas dengan peruntukan keseluruhan RM21.21 juta yang bakal memberi manfaat kepada 70,715 orang peneroka.
“Pastinya warga peneroka di Felda Wilayah Raja Alias juga akan mendapat manfaat ini insya-Allah,” katanya lagi.-UTUSAN.