Lapan bulan Kerajaan Perpaduan terbentuk, tiada menteri terlibat kes rasuah - PM - Utusan Malaysia

Lapan bulan Kerajaan Perpaduan terbentuk, tiada menteri terlibat kes rasuah – PM

ANWAR Ibrahim sewaktu berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Port Dickson malam ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Perdana Menteri memberitahu, tidak ada satu kes termasuk berkaitan rasuah ketika ini yang didapati melibatkan mana-mana menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, perkara tersebut merupakan satu rekod dan beliau berterima kasih kepada semua menteri terbabit serta kepemimpinan parti-parti yang telah membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini.

“Kita pecah rekod, inilah kali pertama dalam lapan bulan bila saya tanya SPRM, LHDN, Bank Negara, jenayah komersial, tidak satu kes yang melibatkan mana-mana menteri dalam kerajaan, saya terima kasih kepada kepemimpinan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian sewaktu berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini malam ini.

Yang hadir sama, kesemua kepemimpinan tertinggi parti-parti Kerajaan Perpaduan termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan pemimpin-pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mencerca Ahmad Zahid dan mengait serta melabel Presiden UMNO itu sebagai pemimpin ‘kluster mahkamah’ ketika mereka kini turut berdepan banyak tuduhan di mahkamah.

“Tetapi sekarang ini dia (PN) lagi banyak kluster mahkamah ini dan kalau keadaan seperti yang berlaku sekarang curi sana curi sini, curi tanah curi balak, curi rare earth element, lebih ramai kluster mahkamah dari PN,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR dalam pada itu juga menambah, tiada seorang mana-mana Menteri dalam kerajaan hari ini juga menjual hak Melayu dan Islam di negara ini seperti yang sering didakwa pembangkang.

“Saya nak sebut, lapan bulan kita dimana kita jual, hak Melayu mana kita jual? Lapan bulan kita perintah di mana kita khianati Islam malah peruntukan tambah. Saya tanya di Parlimen mana dia (kami) khianat,  mereka tidak jawab. 

“Saya syukur Alhamdulillah kerana kekuatan kita Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana menghidupkan semula semangat asal, kita akan pertahankan idealisme bapa-bapa kemerdekaan negara kita,” katanya lagi.

Perdana Menteri dalam pada itu berharap, pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan mesti mempertahankan kekuatan dan kerjasama rapat yang telah dibentuk dibawah kepemimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Kekuatan penting, kekuatan asas Kerajaan Perpaduan. Kerja kita adalah untuk selamatkan negeri dan negara dan Negeri Sembilan masih kubu kuat Kerajaan Perpaduan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya